Harga Korban Melambung Tinggi, Bebankan Umat Islam

Harga haiwan korban melambung tinggi RM800 hingga RM1,000 bagi setiap bahagian.

Itu harga terkini haiwan ternakan terutama kambing dan lembu yang akan dijadikan ibadat korban di negara ini.

Yang Dipertua Kasih Anak Yatim Malaysia (Kayma), Dr. Zulkeflee Yaacob berkata, kos itu meningkat secara drastik memandangkan sekitar lima tahun, kos haiwan korban adalah dalam lingkungan RM300 hingga RM500 sahaja bagi setiap bahagian.

Katanya, harga yang tinggi itu dilihat mengabaikan prinsip muamalat memandangkan Islam melarang peniaga mengaut keuntungan melampau.

Apa yang lebih dikesalkan kata beliau, ibadat korban bukanlah perkara berkaitan keuntungan kerana ia dilakukan bertujuan mendapatkan keberkatan Allah SWT.

“Sikap tamak menyaksikan peniaga menjual ternakan lembu dan kambing dengan harga tinggi sejak kebelakangan ini.

“Bagi satu daripada tujuh bahagian, kosnya sudah mencecah RM800 hingga RM1000 sedangkan sekitar lima tahun lalu, kos bagi satu bahagian hanya antara RM300 ke RM500 sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.

Zulkeflee berkata, perbuatan memanipulasi harga haiwan korban hanya akan membebankan umat Islam, sekali gus membantutkan usaha mereka melakukan ibadat sunat tersebut.

Sehubungan itu katanya, kerajaan digesa mencari langkah terbaik bagi menangani peningkatan harga haiwan korban termasuk membantu pengusaha mengurangkan kos penternakan.

“Langkah meningkatkan pengeluaran haiwan ternakan tempatan juga perlu dilakukan supaya negara tidak terlalu bergantung kepada haiwan yang diimport dari negara jiran,” katanya. – 24 Ogos 2017.