Najib Terima Jemputan Trump

Presiden Donald Trump merancang untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Rumah Putih pada 12 September ini, demikian menurut dua pegawai kanan negara itu.

Laporan The Wall Street Journal menyebut, Najib juga berhasrat untuk memastikan hubungan persahabatan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) dapat diperkukuhkan.

Trump menyatakan hasrat untuk membincangkan langkah untuk mengukuhkan hubungan dua hala dan mengembangkan kerjasama AS di Asia Tenggara.

Reuters melaporkan, perkara itu diumumkan menerusi kenyataan yang dikeluarkan Rumah Putih susulan lawatan Perdana Menteri Malaysia itu bulan depan.

AS menganggap Malaysia sebagai rakan penting berhubung kait tuntutan China terhadap wilayah di Asia Timur sejak kepimpinan Barack Obama yang menjadi presiden pertama AS melawat negara ini dalam tempoh 50 tahun.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataannya berkata, Perdana Menteri menerima jemputan tersebut.

Katanya, Perdana Menteri akan melakukan lawatan kerja ke Washington atas jemputan Trump.

“Susulan jemputan Presiden AS, Donald Trump, dengan itu Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja ke Washington pada 12 September 2017.

“Malaysia dan AS bakal menyambut ulang tahun hubungan dua hala ke-60 yang kini semakin diperkukuhkan di bawah kepimpinan perdana menteri.

“Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua negara termasuk aspek keselamatan, pengganas, perdagangan dan pelaburan untuk kebaikan negara dan rakyat,” kata Kementerian Luar.

Sebelum ini, Rumah Putih telah mengeluarkan kenyataan memaklumkan mengenai jemputan Trump kepada Najib itu. – 24 Ogos 2017.