Dr. Mahathir Kata Kerajaan PAS Kelantan Gagal

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Kerajaan PAS Kelantan gagal mentadbir negeri itu dengan baik meskipun telah diberi peluang memerintah sejak 27 tahun lalu.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP menyerahkan kepada rakyat untuk melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, ekoran daripada kegagalan tersebut, penduduk di Kelantan terpaksa berhijrah keluar ke negeri lain untuk mencari peluang pekerjaan.

“Saya rasa sedih melihat pembangunan Kelantan yang dilabel sebagai negeri paling miskin.

“Sumber alam dan tenaga manusia memang mencukupi di Kelantan, namun disebabkan pemerintah tidak tahu bangaimana mahu membangunkan negeri itu menyebabkan ia berada di takuk lama.

“Jadi, terserahlah kepada rakyat Kelantan sama ada masih mahu mengekalkan pemerintahan sedia ada atau memilih pentadbiran baharu yang diterajui parti lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran Pakatan Harapan Kelantan hari ini. – 25 Ogos 2017.