Negara Bankrap Kelirukan Rakyat

Negara tidak akan bankrap seperti yang selalu didakwa pembangkang kerana kerajaan mengamalkan pengurusan kewangan baik, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, negara berada pada kedudukan ekonomi kukuh dan mampu memacu transformasi negara untuk kesejahteraan rakyat.

“Kalau ada yang bagi tahu negara bankrap, itu adalah fitnah dan dakwaan yang tidak berasas. Misalnya, kerugian yang berlaku ketika forex dealing (urus niaga mata wang asing) pada 1997, berapa kerugian…dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) (menunjukkan) RM31 bilion, ada yang kata RM33 bilion.

“Ketika itu, rizab antarabangsa kita sebanyak RM60 bilion, iaitu separuh daripada rizab kita rugi. Bukan rugi atas kertas, tapi rugi ‘hardcash’ iaitu tunai (dan) kita masih tak bankrap lagi,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Johor Bahru hari ini.

Presiden UMNO itu berkata, rizab antarabangsa kini bernilai RM400 bilion dan itu secara langsung menunjukkan kewangan negara masih kukuh.

Katanya, selain itu, penarafan A- dan A ke atas negara juga menunjukkan pengurusan kewangan negara masih baik.

Februari lepas, Fittch Ratings mengesahkan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang asing dan tempatan jangka panjang Malaysia masing-masing kepada A- dan A dengan unjuran stabil, yang didorong komitmen kerajaan terhadap usaha pengukuhan fiskal, kestabilan ringgit serta pertumbuhan rizab dan ekonomi lebih kukuh.

Najib menyifatkan dakwaan pembangkang yang negara akan bankrap bertujuan mengelirukan rakyat, sekaligus menghilangkan keyakinan terhadap UMNO dan Barisan Nasional.

“Jadi, tak bolehlah kita percayakan dakwaan (pembangkang) sebab dia nak hilangkan keyakinan rakyat pada kita (kerajaan). Politik hari ini adalah mengenai persepsi, asalkan ada orang sangsi pada kerajaan…sudah cukup.

“Kita (orang UMNO) kena terangkan naratif cerita sebenar, walaupun kita kena ulang banyak kali Malaysia berada pada landasan ekonomi yang kukuh dan kita (kerajaan BN) mampu memacu transformasi untuk kesejahteraan rakyat,” tambah Najib.

Beliau menyifatkan projek pengangkutan awam seperti MRT di Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang dilaksanakan kerajaan ialah projek bertaraf dunia.

“Maknanya keyakinan rakyat kepada kita untuk menyediakan projek bertaraf dunia tidak boleh disangkal sesiapa.” katanya.

Selain itu, pertumbuhan 5.8 peratus pada suku ke-2, rizab antarabangsa yang bertambah serta unjuran nilai mata wang negara akan lebih kukuh, turut menunjukkan ekonomi negara berada pada landasan kukuh. – Bernama, 25 Ogos 2017.