PKR Kelantan Bergolak

PKR Kelantan terus bergolak apabila Pengerusinya, Ab. Aziz Ab. Kadir menyifatkan Pengarah Pilihan Raya Kota Bharu, Ahmad Syauqey Abdul Ghani yang dikatakan terlibat mengedarkan surat layang bagi mendesak pucuk tertinggi parti itu ditukar sebagai tali barut.

Ab. Aziz berkata, surat yang tersebar itu hanya surat layang yang didalangi pemimpin mereka sendiri akibat tidak berpuas hati dalam beberapa isu.

“Tidak wujud memorandum mendesak saya melepaskan jawatan dalam parti kerana perlantikan saya dibuat oleh PKR Pusat dan saya tidak akan berbuat demikian hanya disebabkan surat layang itu.

“Pemimpin PKR terbabit mengakui dia antara individu yang membuat surat berkenaan dan saya sifatkan dia sebagai tali barut kepada parti lain.

“Saya akan membuat surat kepada PKR Pusat berhubung perbuatan yang didalangi Pengarah Pilihan Raya Kota Bharu, Ahmad Syauqey Abdul Ghani supaya dikenakan tindakan,” katanya.

Sebuah portal semalam melaporkan Ahmad Syauqey mengakui beliau antara individu yang merangka memorandum bagi mengumpul tandatangan untuk mendesak Ab. Aziz melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PKR Kelantan.

Memorandum itu turut menyenaraikan 10 kegagalan Ab. Aziz dan tiga alasan mengapa bekas anggota parlimen Ketereh itu perlu melepaskan jawatan.

Mengulas lanjut, Ab. Aziz berkata, masalah dalaman berlaku apabila 68 ahli lantikan politik PKR di Kelantan dikekalkan atas arahan PKR Pusat.

“Perlu diingat, tiada kerjasama politik diantara PKR dan PAS sebaliknya hanya membabitkan kerjasama dalam pentadbiran,” katanya. – 25 Ogos 2017.