PRU-14 Bila-Bila Masa – Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan diadakan pada bila-bila masa.

Malah katanya, Perhimpunan Agung UMNO ke-17 yang dijadual berlangsung pada 5 hingga 9 Disember akan ditangguh jika berlaku pilihan raya itu.

“Pilihan raya boleh diadakan bila-bila masa sahaja,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi parti itu.

Pada Jun 2015, Najib mengumumkan pemilihan UMNO yang sepatutnya diadakan pada 2016 ditangguh selama 18 bulan bagi memastikan kemantapan parti menghadapi PRU14.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, nama-nama calon yang dicadang untuk bertanding dalam PRU-14 akan datang masih dalam proses.

Mengenai persiapan bagi menghadapi pilihan raya itu beliau berkata, jentera parti itu sudah berada dalam keadaan bersiap-sedia.

“Dan mesyuarat bahagian yang berakhir baru-baru ini memperlihatkan tahap disiplin yang tinggi dalam kalangan ahli-ahli parti.

“Persidangan peringkat UMNO bahagian telah berjalan dengan baik dan mendapat sambutan dan disiplin pun baik tidak ada kerusi melayang dan sebagainya.

“Semangat pun tinggi dan kita harap jentera parti berada dalam keadaan siap siaga namun kerja-kerja untuk memurnikan segala-galanya menjelang PRU-14 perlu diadakan,” katanya. – 25 Ogos 2017.