RCI Memali Ditubuh Bila Tiba Masanya

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu Memali akan ditubuhkan apabila tiba masanya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kerajaan masih menunggu reaksi dan pandangan masyarakat sebelum suruhanjaya itu ditubuhkan.

“Kita tak menolak dan ia boleh diadakan. Kita sedang menunggu reaksi dan pendapat masyarakat termasuk mereka yang terlibat sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada RCI mengenai Memali, keputusan tepat kita akan buat bila dah sampai masanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC petang semalam.

Isu Memali muncul kembali apabila bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Pakatan Harapan seolah-olah enggan menjawab soalan berkaitan yang dibangkit dalam forum Nothing to Hide 2.0 baru-baru ini.

Peristiwa Memali yang berlaku pada 19 November 1985 itu menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya. – 25 Ogos 2017.