Tok Pa Terlibat Kemalangan

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berdepan detik cemas apabila terbabit dalam kemalangan di Kampung Batu Gajah, Tanah Merah petang tadi.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, Mustapa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku apabila kereta yang dinaiki Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dirempuh sebuah kereta jenis Volkswagen Polo dari arah depan.

Pemandu kepada Mustapa yang hanya dikenali sebagai Muslim berkata, ketika kejadian mereka dari arah Bachok menghala ke Kampung Batu Gajah bagi menziarahi penduduk di kawasan itu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian di simpang empat, kami berhenti untuk masuk ke simpang kanan sebelum dirempuh sebuah kereta dari arah depan.

“Kami semua tidak mengalami sebarang kecederaan termasuk pemandu Volkswagen Polo,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintenden Suzaimi Mohamad ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu dan memaklumkan bahawa semua mangsa termasuk Mustapa tidak mengalami sebarang kecederaan. – 25 Ogos 2017.