DAP Kata Hadi Buat Pusingan U Terbesar Dalam Sejarah Politik

DAP menyifatkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat pusingan U terbesar dalam sejarah politik negara apabila mengambil pendekatan berbaik dengan UMNO.

Dalam masa sama, Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mempersoal Abdul Hadi dengan mendakwa amanat Ahli Parlimen Marang pada 1981 yang digunakan untuk menghancurkan UMNO, kini sudah berubah bagi menyelamatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang kita lihat amanat Hadi yang digunakan untuk hancurkan UMNO sekarang sudah berubah. Ini merupakan u-turn terbesar dalam sejarah politik Malaysia.

“Apa yang dia (Abdul Hadi) buat sekarang hanyalah untuk menyelamatkan UMNO atau Najib,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kit Siang baru-baru ini dilaporkan berkata, jika Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung tragedi Memali dibentuk, Abdul Hadi adalah antara individu yang perlu dihadapkan kepada jawatankuasa itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mendakwa ucapan Abdul Hadi pada 7 April 1981 yang kemudiannya dinamakan sebagai ‘Amanat Hadi’ mempunyai hubung kait dengan tragedi Memali sehingga mengorbankan 18 nyawa pada 19 November 1985.

Isu Memali muncul kembali apabila bekas Perdana Menteri seolah-olah enggan menjawab soalan berkaitannya yang dibangkitkan dalam forum Nothing to Hide 2.0 baru-baru ini. – 26 Ogos 2017.