Annuar Sedia Kembali Terajui Kafa Jika Tiada Calon

Tan Sri Annuar Musa sedia kembali menerajui Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) jika masih tiada individu yang menawarkan diri pada pada Kongres Agung Tahunan Kali Ke-63 pertengahan September ini.

Walaubagaimanapun Annuar berharap, akan ada individu yang berminat untuk menjawat jawatan presiden badan induk bola sepak negeri itu.

“Saya bukan menolak atau merajuk dengan Kafa, saya hanya mahu memberi peluang dan laluan kepada rakyat Kelantan. Saya akan membantu sesiapa pun yang menjadi Presiden. Itu prinsip hidup saya.

“Kalau ditakdirkan tiada orang yang menawarkan diri sehingga tarikh tutup, saya sedia duduk berbincang bersama exco Kafa berkaitan masalah tersebut.

“Namun saya harap perkara itu tidak berlaku kerana saya mahu membuka peluang kepada individu yang berkemampuan membina kembali pasukan Kelantan.

“Saya tidak mahu membiarkan bola Kelantan mati kerana semua bertindak lepas tangan. Saya ingin membuka peluang seluas-luasnya kerana yang penting adalah The Red Warrior (TRW) 2018 mesti menjadi pasukan yang hebat dan kuat,” katanya.

Sebelum ini, Kafa membuat tawaran terbuka kepada mana-mana individu yang mahu memimpin badan induk itu pada Kongres Agung Tahunan Kali Ke-63 pertengahan September ini.

Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Noor berkata, badan tersebut memerlukan individu yang berwibawa untuk mengembalikan semula kegemilangan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan.

Dalam pada itu, Annuar turut berharap agar mana-mana ahli exco Kafa yang tidak memberi apa-apa sumbangan dapat memberi laluan kepada mereka yang komited dan sanggup mengeluarkan wang untuk bersama-sama menguruskan badan induk itu.

“Tidak perlu membawa penumpang yang ramai. Lebih baik lagi kalau exco adalah terdiri daripada mereka yang turut menyumbang secara kewangan.

“Beri keutamaan kepada orang yang sanggup keluarkan duit dan menaja menjadi exco kerana pada saya itu adalah terbaik. Bila mereka letak duit, mereka akan bekerja keras,” katanya. – 27 Ogos 2017.