Era Dr. Mahathir Rakyat Kelantan Derita

Rakyat Kelantan jauh lebih menderita ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad berbanding era dua lagi Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Dr. Mahathir mungkin sudah lupa, namun rakyat Kelantan tidak pernah lupa bagaimana beliau menganiayai negeri itu hanya kerana mereka menyokong PAS.

Katanya, antara pengalaman perit sepanjang Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri termasuklah ditekan, dinafikan hak dan dipinggirkan dalam pelbagai aspek berbanding negeri-negeri lain.

“Dr. Mahathir lupa rakyat menderita lebih banyak semasa beliau menjadi Perdana Menteri, ketika kerajaan negeri berubah daripada UMNO kepada PAS.

“Selama lebih 20 tahun, beliau bagi banyak tekanan kepada Kelantan. Sekarang beliau nak kata mahu dapatkan kembali mandat dari rakyat Kelantan,” katanya.

Ketika melancarkan Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Dr. Mahathir menyifatkan Kerajaan PAS Kelantan gagal mentadbir negeri itu dengan baik meskipun telah diberi peluang memerintah sejak 27 tahun lalu.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan diketuai DAP menyerahkan kepada rakyat untuk melakukan perubahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ditanya laporan Straits Times Singapura mengenai kospirasi pakatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam PRU-14, Takiyuddin menafikan wujudnya kerjasama seumpama itu.

“Kalau setakat buat cerita tanpa asas, siapapun boleh buat. Saya minta mereka yang membuat dakwaan tersebut mengemukakan bukti dan hujah menyokong perkara itu.

“Hubungan yang ada pada hari ini ialah antara PAS dengan Kerajaan Persekutuan, bukan Pas dengan UMNO. Itu tidak mungkin berlaku,” katanya. – 27 Ogos 2017.