Jentera Siber Tangkis Fitnah Pembangkang

Jawatankuasa Biro Teknologi Maklumat dan Media Sosial UMNO akan diperluaskan ke peringkat cawangan sekali gus memperkuatkan jentera siber parti itu dalam menangkis serangan fitnah pembangkang.

Pengerusi Biro IT UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, pihaknya akan melantik seorang ketua bagi setiap cawangan seterusnya bakal bergabung dengan jawatankuasa tersebut di peringkat bahagian.

Katanya, mereka akan berperanan menularkan perkara baik mengenai dasar kerajaan dan parti selain menangkis fitnah media sosial pembangkang yang dilihat semakin agresif.

“Sebelum ini, kita menubuhkan Jawatankuasa Biro Teknologi Maklumat dan Media Sosial UMNO di Bahagian UMNO seluruh negara dengan setiap bahagian mempunyai 40 orang.

“Selepas ini, kita akan memperluaskannya di peringkat cawangan,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Biro Teknologi Maklumat dan Media Sosial UMNO Bahagian Kota Bharu.

Sementara itu Ahmad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengingatkan seluruh jentera siber parti itu supaya sentiasa bertanggungjawab dengan menyebarkan maklumat yang tepat dan berfakta.

“Kita jangan jadi seperti mereka (jentera siber pembangkang) yang sering menyebarkan maklumat tidak tepat dan fitnah terhadap kerajaan.

“Biarlah sesuatu yang kita sampaikan itu tidak viral namun apa yang lebih penting ia adalah perkara yang betul.

“Saya harap kita menggunakan prinsip yang diajarkan oleh Islam iaitu semak dan teliti dulu sesuatu perkara sebelum menyebarkannya,” katanya. – 28 Ogos 2017.