JPJ Tahan Pemuda Pakai Plate DDD111

Seorang pemuda ditahan berikutan memakai nombor pendaftaran palsu DDD111 pada motosikalnya semalam.

Pemuda berusia 20-an yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu ditahan di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu dalam operasi khas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada pukul 3.20 petang.

 

Difahamkan, pemuda terbabit turut menipu orang ramai dengan mendakwa berjaya membida nombor itu dengan harga RM70,000.

Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapa dalam sidang akhbar hari ini memberitahu, plat DDD111 berkenaan belum wujud dan plat pendaftaran siri awalan DDD masih dalam proses penilaian tender.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemuda terbabit tidak memiliki lesen memandu, malah motosikal miliknya itu tidak mempunyai cukai jalan dan insurans.

“Pihak JPJ telah menyita motosikal itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – 29 Ogos 2017.