Kerjasama PAS, PKR Tidak Akan Berlaku

PAS sekali lagi menegaskan tidak akan berunding atau mengadakan kerjasama dengan PKR dalam soal pengagihan kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, kunjungan Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke atas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini hanya ziarah biasa bukan ke arah mengadakan perbincangan mengenai kerjasama.

“Namun kita tidak tolak sekiranya kerjasama demi kepentingan rakyat cuma soal kerjasama berkaitan pengagihan kerusi PRU-14 tidak akan berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Laman Mural Seni Budaya Tumpat di Tumpat.

Sejak akhir-akhir ini, PKR dilihat bersungguh-sungguh untuk kembali bersama dengan PAS bagi menghadapi PRU 14.

Polemik ini muncul kembali apabila tersebar gambar kunjungan Wan Azizah bersama Mohamed Azmin Ali atas Abdul Hadi baru-baru ini. – 29 Ogos 2017.