Memali: Siapa Salah, Siapa Benar

Selepas 32 tahun peristiwa berdarah Memali pada 19 November 1985 yang mengorbankan 18 nyawa termasuk empat anggota polis muncul kembali menghangatkan suasana ketika ini.

Isu tersebut muncul kembali apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan seolah-olah enggan menjawab soalan berkaitannya yang dibangkitkan dalam forum Nothing to Hide 2.0 baru-baru ini sehingga menimbulkan kekecohan.

Ekoran itu, pelbagai pihak mula tampil membahas isu tersebut dengan ada daripadanya menyalahkan kerajaan di bawah pemerintan Dr. Mahathir yang dikatakan zalim ketika itu selain ada yang mendakwa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai punca menerusi amanat keramatnya pada tahun 1981.

Bagi Dr. Mahathir, beliau telah menetapkan pendirian bahawa sedia disiasat bagi membolehkannya mendedahkan perkara sebenar kes berkenaan.

Begitu juga Abdul Hadi yang sedia bertindak sama bagi mencari kembali keadilan untuk mangsa-mangsa tragedi tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat mampu mencari penyelesaian isu tersebut apabila menyatakan kesediaaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kembali peristiwa itu asalkan ianya memberi kebaikan dan kebenaran kepada rakyat.

Apa yang menarik dapat dilihat dalam isu ini juga apabila beberapa bekas pemimpin PAS yang kini bersama PAN seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan ramai lagi yang dahulunya bermatian-matian memperjuangkan isu tersebut kini mula lunak apabila menyifatkan ia sekadar isu lama yang tidak perlu dibangkitkan.

Malah pemimpin parti serpihan PAS itu juga mengangap PAS sengaja menimbulkan isu tersebut demi kepentingan politik untuk meraih undi Melayu dalam pilihan raya umum yang dijangka berlaku pada bila-bila masa.

Jika dilihat kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Hishamuddin Abdul Karim yang membidas keras tindakan pemimpin PAN bahawa mereka sanggup bersekongkol dengan kemungkaran dan kejahatan yang dilakukan Dr. Mahathir ketika itu demi kepentingan politik pada hari ini ada asasnya.

Apa pun kesudahan isu ini, kita tunggu penubuhan RCI yang bakal membongkar segala persoalan berkaitan peristiwa ini.