23 Bayi Merdeka Lahir Di HRPZII

Ketika perkataan keramat ‘Merdeka’ dilaungkan bermula tengah malam tadi, seramai 23 bayi selamat dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab ll (HRPZ ll) dalam tempoh 12 jam sehingga pukul 12 tengah hari ini.

Pengarah HRPZ II, Dr. Selasawati Ghazali berkata, kelahiran tersebut melibatkan seramai 15 bayi lelaki dan lapan bayi perempuan dengan kelahiran pertama bermula pada pukul 12.30 tengah malam.

Katanya, seramai 21 ibu selamat melahirkan anak secara normal manakala dua lagi dilahirkan secara pembedahan dengan kesemua ibu dan bayi dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

“Ini merupakan kali ketiga HRPZ ll meraikan bayi merdeka bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan negara.

“Kami berharap dengan adanya sambutan seperti ini kita dapat berkongsi kesyukuran terhadap kelahiran generasi baharu ini yang akan mewarisi negara pada masa depan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan di wad bersalin di HRPZ ll hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pelawat HRPZ ll, Datuk Zaluzi Sulaiman dan Ketua Jabatan Perbidanan dan Sakit Puan HRPZ ll, Dr. Shukri Ahmad.

Sementara itu, Zaluzi berkata, pihaknya juga turut menyumbangkan pelbagai barangan keperluan asas penjagaan bayi bagi meringankan beban dan memberi kegembiraan kepada keluarga bayi berkenaan.

“Kita akan terus bekerjasama dengan pihak hospital bagi memastikan program seumpama ini dapat memeriahkan lagi sambutan kemerdekaan setiap tahun,” katanya. – 31 OGOS 2017.