Maqis Rampas Lembu Seludup

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 41 ekor lembu dan kerbau yang diseludup masuk dari negara jiran ke negeri Kelantan pada tahun ini.

Ketua Pengarah Maqis, Datuk Mokhtarud-din Husain berkata, tangkapan yang dibuat sejak awal tahun sehingga kini itu adalah hasil kerjasama daripada agensi-agensi kawalan dan keselamatan di sempadan negara.

“Ternakan yang diseludup ini dibimbangi boleh mendedahkan ternakan tempatan dan orang ramai terhadap risiko penyakit haiwan dan zoonotik.

“Oleh itu, kegiatan menyeludup atau membawa musuk ternakan tanpa permit import Maqis akan didakwa di bawah Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.

Dalam pada itu, Mokhtarud-din berkata, sebanyak 58,790 ekor lembu dan kerbau yang diimport secara sah ke negara ini melalui pintu masuk Rantau Panjang sejak 2012 sehingga tahun ini.

“Semua ternakan ini telah melalui proses import yang ditetapkan oleh pihak Maqis seperti mempunyai permit import Maqis dan sijil kesihatan veterinar dari pihak berkuasa negara pengeksport.

“Selain itu, ternakan ini juga melalui prosedur kuarantin yang ketat selama 15 hari di Stesen Kuarantin Haiwan Rantau Panjang milik Maqis,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya memohon kerjasama orang ramai untuk bersama membanteras aktiviti penyeludupan dengan tidak menggunakan atau mendapatkan bekalan lembu dan kerbau yang diseludup.

“Lembu dan kerbau yang diseludup ini tidak diketahui status kesihatan sebenar. Jadi orang ramai perlu tahu bahawa lembu dan kerbau yang diimport secara sah akan mempunyai tanda di bahagian telinga,” katanya. – 31 Ogos 2017.