OKU Buta Antara Peserta World #Quran Hour

Program World #QuranHour yang berlangsung serentak di seluruh negara hari ini menyaksikan sebanyak 590 masjid di negeri Kelantan mengambil bahagian.

Pengerusi Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan, Datuk Mejar (B) Adnan Hashim berkata, menariknya, program itu berlangsung serentak dengan program Penghayatan Hari Wukuf anjuran kerajaan negeri yang diadakan di 15 lokasi.

Sehubungan itu kata beliau, World #QuranHour yang diperkenalkan sejak tiga tahun lalu itu dilihat berjaya menyatukan seluruh umat Islam bagi bersama-sama menghayati al-Quran selain selari dengan matlamat perhimpunan para jemaah haji di Padang Arafah.

“Kami merasakan program ini semakin berjaya apatah lagi apabila ia digabungkan dengan pelbagai aktiviti keilmuan lain.

“Penglibatan masjid di sesuatu komuniti setempat secara menyeluruh akan membangkitkan lagi semangat masyarakat untuk mendampingi al-Quran,” katanya dalam program World #QuranHour yang disertai hampir 1,000 peserta di Masjid Muhammadi hari ini.

Program itu dimulakan dengan bacaan dan tadabbur ayat 1 hingga 5 Surah Yaasin sebelum semua peserta membaca bahagian ayat-ayat al-Quran yang ditetapkan.

Tidak ketinggalan menyertai program adalah tujuh orang kurang upaya (OKU) dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Kelantan yang membaca naskah al-Quran Braille.

Sementara itu, Pengerusi Pertis Kelantan, Mohd Nazri Nawi berkata, beliau berharap penyertaan mereka dalam program itu akan menjadi pendorong kepada lebih ramai orang buta supaya menguasai Braille demi mempelajari al-Quran lebih baik. – 31 Ogos 2017.