Pakatan Harapan Kelantan Bergelora

Pakatan Harapan yang diketuai DAP di Kelantan menghadapi kesan berhubung krisis dalaman PKR apabila Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Dr. Mohd. Hafidz Rizal Amran dipecat berkuatkuasa serta-merta baru-baru ini.

Sejak beberapa minggu lalu pergolakan pakatan pembangkang semakin jelas kelihatan apabila beberapa pemimpin PAN secara terbuka menyerang Mohd. Hafidz Rizal di dalam facebook ekoran sikapnya yang kelihatan condong untuk bekerjasama kembali dengan PAS.

Di dalam PKR sendiri pula dikatakan terbahagi kepada dua kumpulan iaitu yang bersama Pengerusi PKR negeri, Ab. Aziz Ab. Kadir dan sebuah lagi kem yang menentang keras sebarang rundingan atau kerjasama dengan PAS.

Malah perkara itu diakui sendiri oleh PKR negeri apabila mendakwa wujudnya kumpulan ‘kecewa’ yang bertindak membuat kacau di dalam parti terutama melibatkan isu tohmahan terhadap Ab. Aziz dan Mohd. Hafidz Rizal sejak akhir-akhir ini.

Situasi tersebut pastinya menggembirakan PAN yang sememangnya mengharapkan kem yang cuba berbaik dengan PAS ini segera disingkirkan.

Dalam pada itu, Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad dipetik daripada sebuah portal dilaporkan berkata, keputusan memecat Mohd. Hafidz Rizal adalah bagi memenuhi permintaan ahli parti itu di Kelantan.

Nik Nazmi dilaporkan berkata, keputusan dibuat selepas Pemuda PKR Pusat dan negeri  mengadakan perbincangan sejak minggu lalu.

Bagaimanapun beliau menafikan keputusan pemecatan tersebut dilakukan disebabkan kecenderungan Mohd. Hafidz Rizal bekerjasama dengan PAS dan membantah langkah PKR Pusat sebelum ini yang mengarahkan lantikan politik PKR di Kelantan melepaskan jawatan.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd. Sukiman Mustafa pula mempertikai cara pemecatan Mohd. Hafidz Rizal kerana keputusan itu tidak dimaklumkan kepada kepemimpinan negeri terlebih dahulu.

“Saya hanya mengetahui perkara ini menerusi WhatsApp yang kini tular di laman-laman sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Hafidz Rizal ketika dihubungi bagi mengulas situasi tersebut enggan mengulas lanjut sebaliknya akan mengadakan sidang akhbar dalam tempoh terdekat bagi memberi penjelasan mengenai pemecatan tersebut.

Baru-baru ini Jawatankuasa AMK Kelantan mengumumkan hilang sokongan terhadap Mohd. Hafidz Rizal dan mendesak beliau supaya meletak jawatan.

Naib Ketua AMK negeri, Mohd. Khairul Amin Abdul Rahman dilaporkan berkata, majoriti Ketua AMK Cabang turut menandatangani satu memorandum kepada pucuk pimpinan pusat supaya Mohd. Hafidz Rizal dilucutkan daripada jawatan tersebut.

Manakala di peringkat pusat, pergolakan dalaman PKR juga semakin membarah apabila Timbalan Presiden PKR, Datuk Mohamed Azmin Ali mengakui bahawa wujubdnya rundingan kerjasama dengan PAS.

Suasana tersebut jelas mendatang rasa kurang senang sesetengah pemimpin parti  itu sehingga menyebabkan ada antara mereka meletakkan jawatan selain Naib Presiden PKR juga melontarkan idea agar kongres khas bagi menentukan pendirian sebenar PKR mengenai kerjasama dengan PAS.

Jelas, walaupun pembangkang sebelum ini begitu beriya-iya ingin merampas Putraya namun masalah dalaman antara mereka sendiri masih tidak mampu diselesaikan.