PKR Kelantan Enggan Iktiraf Ketua AMK Baharu

Pengerusi PKR Kelantan, Ab. Aziz Ab. Kadir berkata, beliau masih mengekalkan pendirian untuk tidak mengiktiraf pelantikan Mohd. Khairul Amin Ab. Rahman sebagai Ketua AMK Kelantan yang baharu.

Bagaimanapun katanya, laporan mengenai pergolakan yang melanda PKR Kelantan, terutama krisis dalaman sayapnya itu telah dihantar kepada pucuk pimpinan pusat parti itu.

“Saya sudah serah laporan kepada pusat dan tunggu apa keputusan pusat. Arahan parti agar kami perkuatkan Pakatan Harapan akan diusahakan sebaik mungkin,” katanya.

Isnin lalu, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad memecat Ketua AMK Kelantan, Dr. Mohd. Hafidz Rizal Amran sebelum melantik Mohd. Khairul Amin, dua hari kemudian bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

Susulan itu, Ab. Aziz Kadir mengeluarkan kenyataan enggan mengiktiraf pelantikan tersebut dengan alasan keputusan dibuat tidak mengikut proses sebenar iaitu dirunding bersama ketua-ketua cabang AMK dan Majlis Pimpinan PKR Negeri.

Sebelum ini, PKR Kelantan dikatakan terbahagi kepada dua kumpulan selepas Ab. Aziz dikatakan cenderung bekerjasama dengan PAS kerana mahu mengekalkan lantikan politik PKR di negeri itu.

Difahamkan, Mohd. Hafidz Rizal merupakan salah seorang pimpinan negeri yang menyokong kuat hasrat Ab. Aziz.

Mengulas lanjut, Ab. Aziz berkata, beliau akan akur apa sahaja keputusan dibuat pucuk pimpinan bagi menyelesaikan pergolakan dalaman AMK Kelantan.

“Saya ahli parti, apa jua permasalahan saya akan rujuk pimpinan. Keputusan Presiden mesti diikuti,” katanya. – 1 September 2017.