Agong Sembelih Korban

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan menyempurnakan Majlis Korban Aidiladha anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis tahunan tersebut ialah adinda Seri Paduka, Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Faiz Petra yang juga Yang Dipertua Maik.

Pada majlis tersebut, Sultan Muhammad V yang tiba kira-kira pukul 11.15 pagi ini turut berkenan menyembelih tiga ekor lembu.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr. Nik Azlan Abd. Hadi; Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat.

Nik Azlan berkata, sebanyak 62 ekor lembu dikorbankan pada majlis bersempena sambutan Aidiladha pada tahun ini.

Katanya, daging tersebut akan diagihkan kepada golongan fakir miskin di sini dan di Masjid Muhammadi mulai petang ini.

“Setiap seorang akan menerima sebanyak dua kilogram daging. Dianggarkan seramai 1,500 fakir miskin akan menerima daging korban yang diagihkan menerusi sistem kupon di dua lokasi tersebut,” katanya ketika ditemui di sini. – 2 September 2017.