Duit Minyak Pulang Mengundi Adalah Rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, pemberian elaun perjalanan atau duit minyak kepada pengundi untuk pulang mengundi adalah ‘rasuah’.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki memberitahu, pemberian seumpama itu kepada pengundi sama ada berbentuk wang tunai atau hadiah adalah rasuah di sisi undang-undang.

“Sebagai contoh, sekiranya pengundi tersebut ditawarkan elaun untuk balik mengundi atau dibayar RM50 supaya dia mengundi seseorang calon, itu sudah dikira sebagai rasuah,” katanya dalam satu temubual dengan Sin Chew Daily.

Bagaimanapun kata beliau, tawaran bantuan seperti beras atau derma kepada orang miskin dan ikrar pilihan raya tidak dikira rasuah.

“Semasa berkempen, parti-parti politik biasanya akan membuat pelbagai jenis janji seperti mahu membina rumah dan sebagainya, itu tidak dikira sebagai rasuah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM akan menubuhkan pasukan penguatkuasaan undang-undang bagi memantau aktiviti rasuah semasa pilihan raya setelah Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh pilihan raya nanti.

“Sekiranya pasukan tersebut menerima laporan daripada orang awam, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, Akta Anti Rasuah dan Kanun Jenayah,” katanya. – 3 September 2017.