Kit Siang Cemburu, Dipenuhi Hasad Dengki

 

Penasihat DAP, Lim Kit Siang mungkin berasa cemburu dan hatinya dipenuhi hasad dengki apabila mendesak Kabinet supaya menolak jemputan Presiden Amerika Syarikat (AS) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melawat White House.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Kit Siang tidak mempunyai alasan kukuh untuk membuat desakan tersebut.

“Siapa Lim Kit Siang nak suruh Perdana Menteri batalkan pertemuan? Dia tidak ada hak dan kedudukan untuk tentukan Perdana Menteri boleh atau tidak boleh melawat mana-mana negara dan berjumpa dengan mana-mana pemimpin. Itu hak Perdana Menteri.

“Dia sebenarnya cemburu dan dengki sebab ini memperlihatkan hubungan baik kita dengan AS yang merupakan kuasa besar dunia. Ini juga menonjolkan Najib sebagai pemimpin hebat di peringkat antarabangsa dan inilah yang ditakuti pembangkang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Program Korban Perdana Wanita UMNO Kelantan melibatkan 11 ekor lembu di pekarangan kediaman Ketua Penerangan Wanita UMNO Kelantan, Zarina Md. Eusope hari ini.

Program itu turut dihadiri Ketua Wanita UMNO Kelantan, Datin Rahimah Mahammad serta Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Datuk Zaluzi Sulaiman.

Mengulas lanjut, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim memilih mahu berbaik dengan PAS kerana beliau tidak yakin dengan keupayaan PAN dan DAP.

“Itu menunjukkan Pakatan Harapan tiada harapan untuk menang jika tiada sokongan daripada PAS. Kekuatan mereka dulu datang daripada PAS sehingga mereka menang di Selangor dan banyak tempat lain.

“Hari ini bila PAS tidak lagi bersama, mereka mula bimbang. Ini maknanya parti yang masuk Pakatan Harapan ini tidaklah sekuat manapun untuk menghadapi PRU-14,” katanya. – 3 September 2017.