Pembangkang Bimbang Kunjungan PM Ke Rumah Putih

Gesaan pemimpin pembangkang supaya kabinet menolak jemputan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump Terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Rumah Putih disifatkan sebagai tidak wajar.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim berkata, undangan tersebut bakal memberi kesan besar kepada Malaysia dalam usaha menjalin hubungan diplomatik.

“Malah ia merupakan lawatan rasmi dan akan berupaya meningkatkan hubungan dua hala yang lebih komprehensif dan progresif,” kata Irmohizam dalam satu kenyataan.

Pada 28 Ogos lepas, Penasihat DAP Lim Kit Siang dilaporkan menghantar surat terbuka kepada anggota Kabinet menggesa mereka supaya membatalkan lawatan kerja Najib ke Washington yang dijadual pada 12 September ini.

Irmohizam yang juga Anggota Parlimen Kuala Selangor berkata, tindakan Kit Siang itu menunjukkan pembangkang gagal memahami konsep mentadbir negara dengan baik.

“Jika beginilah cara mereka berfikir dan bertindak, maka negara Malaysia tidak akan dipandang tinggi dan dihormati oleh negara-negara maju yang lain,” katanya.

Irmohizam berkata, tindakan pembangkang itu seolah-olah mahu menggagalkan lawatan tersebut kerana bimbang segala usaha mereka untuk memburuk-burukkan kepimpinan Najib akan gagal setelah pertemuan dua mata di antara Trump dan Najib. – 3 September 2017.