Rundingan PKR-PAS, Azmin Kata Dia Betul

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali berkata, tindakannya berurusan dengan PAS terbukti beliau betul.

Beliau berkata demikian susulan pengakuan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus membuka pintu rundingan dengan PAS.

“Terbukti saya betul. Kebenaran akan mengatasi penipuan. Mencari penyelesaian memerlukan kesungguhan ikhtiar – bukan sekadar untuk meraih perhatian,” kata Azmin menerusi laman sosial Facebooknya.

Anwar dilaporkan berkata, biarpun PAS bertegas tidak akan bersama Pakatan Harapan tetapi, parti itu tidak semestinya memutuskan hubungan dengan PAS.

Katanya, PKR harus meneruskan kerjasamana itu selagi ada kesediaan di pihak PAS untuk meneruskan perbincangan.

Pada Mei lalu PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Baru-baru ini Majlis Presiden Pakatan Harapan yang dipengerusikan Tun Dr. Mahathir Mohamad memutuskan untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PAS pada PRU14.

Kemelut Pakatan Harapan tercetus selepas Azmin cuba membuat rundingan melalui pintu belakang dengan PAS tanpa pengetahuan parti komponen Pakatan Harapan. – 3 September 2017.