Tingkat Ilmu Keusahawanan

Pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) di negara ini diminta agar meningkatkan ilmu keusahawanan bagi mewujudkan lebih banyak rangkaian perniagaan.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, dengan adanya rangkaian perniagaan yang luas, ia akan membantu usahawan IKS berkembang ke peringkat antarabangsa.

“Kita dapat melihat kerancakkan usahawan IKS berkembang namun satu perkara yang menjadi batas kepada mereka adalah pemasaran.

“Oleh sebab itu, usahawan kecil perlu meningkatkan ilmu dengan mengikuti kursus yang dianjurkan oleh mana-mana agensi yang berkaitan supaya mereka pandai mendekati kumpulan sasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan Kelantan@ Ketereh 2017 di Dataran Melor di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan memberitahu, lebih 900,000 PKS di negara ini yang terdiri daripada tiga kategori utama iaitu sederhana, kecil dan mikro.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 5.1 peratus adalah PKS yang terdapat di Kelantan,” katanya. – 3 September 2017.