Kerajaan Peruntukan RM260,000 Bina Jeti Nelayan Pengkalan Chepa

Kerajaan Pusat melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM260,000 untuk membina jeti dan tambatan di Kampung Pulau Gajah dan Kampung Lubuk Jambu di Pengkalan Chepa.

Projek itu nanti bakal memberi kemudahan kepada hampir 300 nelayan di kawasan berkenaan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abd. Rahman berkata, dua prasarana itu membolehkan nelayan pantai mendaratkan hasil laut secara berpusat dan menjual terus kepada pembeli tanpa melibatkan orang tengah.

“Kita luluskan RM200,000 untuk pembinaan Jeti Kampung Pulau Gajah yang akan dibina dalam masa terdekat dan dijangka siap hujung tahun ini.

“Manakala Pusat Tambatan Kampung Pulau Jambu pula yang akan menelan belanja RM60,000 dijangka siap dalam tempoh dua bulan ini.

“Jika ada sebarang kelewatan harap laporkan segera kerana pihak saya akan memantau sendiri perkembangan pembinaan kedua-dua prasarana itu,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Program Ramah Mesra Bersama Penternak dan Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar.

Dalam pada itu, Tajuddin menasihatkan nelayan tidak bergantung kepada kerja menangkap ikan semata-mata sebaliknya perlu meneroka bidang baharu seperti terlibat dalam penghasilan produk hiliran untuk menambah pendapatan.

“Kita sudah merdeka 60 tahun tetapi keadaan nelayan yang merupakan pekerjaan penting orang Melayu masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Kita tidak boleh menuding jari kepada sesiapa sebaliknya semua pihak daripada pemimpin, menteri hingga nelayan perlu berubah sikap dan memainkan peranan masing-masing,” katanya. – 3 September 2017.