Veteran Sedia Bantu UMNO Hadapi PRU14

Veteran UMNO Kelantan sedia membantu parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) bagi memastikan Kelantan milik BN.

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya yakin dengan pengaruh Veteran parti itu dalam memastikan sasaran menawan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen di negeri itu tercapai.

“Kita amat hargai perjuangan yang dilakukan jentera parti dalam kalangan Veteran kerana mereka punya pengaruh, dan banyak berjasa kepada masyarakat.

“Situasi ini secara tidak langsung dapat menarik minat orang ramai untuk memilih UMNO sebagai pemerintah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Merdeka Raya dan pelancaran gerak kerja Veteran Negeri Kelantan PRU 14 di Jeli semalam.

Hadir sama Pengerusi Veteran UMNO negeri, Datuk Mohd. Rozali Isohak.

Dalam pada itu, Mustapa berharap, Veteran akan dapat memainkan peranan sebaik mungkin dengan mengadakan pelbagai program dalam usaha mendekati rakyat.

Belia turut berharap, ahli Veteran sedia ada akan terus istiqamah bersama UMNO dan tidak sesekali bertindak menyertai parti pembangkang lain.

“Kami di peringkat perhubungan tidak pernah melupakan jasa dan pengorbanan Veteran.

“Kita mahu mereka sedar bahawa mereka sentiasa dalam perhatian malah, kalau boleh kita mahu tingkatkan lagi jumlah keahlian Veteran dari masa ke semasa,” katanya. – 4 September 2017.