125,353 Peroleh Lesen B2 Menerusi SKSJ

Kira-kira 125,353 pemilik motosikal memperoleh lesen B2 menerusi 288 siri program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) yang diadakan sejak 2009.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron berkata, program itu dilaksanakan khusus untuk golongan sasar iaitu masyarakat luar bandar berusia 45 tahun ke atas di Semenanjung Malaysia, 40 tahun ke atas di Sabah dan Sarawak dan 21 tahun ke atas bagi Orang Asli.

“Menerusi SKSJ, peserta hanya dikenakan bayaran minima sebanyak RM160 berbanding kos sebenar yang lebih tinggi jika mengambilnya di mana-mana Institut Memandu.

“Selain itu, kita juga membantu memudahkan peserta di mana kita mengadakan ujian secara lisan bagi mereka yang tidak boleh membaca atau menulis serta beberapa kemudahan lain,”katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup SKSJ di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gual Ipoh, Tanah Merah baru-baru ini. – 5 September 2017.