Anggota RELA Maut Ditembak Anak Saudara

Seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) maut selepas ditembak anak saudaranya di Kampung Kerilla, Temangan Machang semalam.

Kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa Rosmadi Abdul Aziz, 49, mengalami kecederaan parah di bahagian perut dan dada meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Klinik Temangan.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Abdul Ghani berkata, sebelum kejadian, mangsa keluar dari rumah bersama rakannya untuk membeli barang bagi membaiki paip yang rosak.

Beliau berkata, ketika ketiadaan mangsa, suspek memecah masuk rumah dan mengambil senapang milik bapa saudaranya itu.

“Sebaik mangsa pulang, dengan tiba-tiba suspek menembak satu das ke arah bapa saudaranya dari jarak 10 hingga 15 meter. Tembakan itu menyebabkan mangsa cedera parah di perut dan dada,” katanya.

Beliau berkata, suspek berjaya ditahan dan polis merampas senapang bersama satu peluru penabur yang masih berada dalam senjata berkenaan.

Katanya, suspek mempunyai penyakit mental, selain turut dikesan positif Methampithamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – 5 September 2017.