Jaga Senapang, Patuhi SOP

Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pengurusan dan penjagaan senjata api masing-masing bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Menurut Pengarah Rela Kelantan, Md. Rawi Mohamad, pihaknya memandang serius perkara itu berikutan dua insiden melibatkan senjata api telah pun berlaku di negeri itu sehingga mengorbankan dua anggota Rela dalam tempoh dua bulan.

Sehubungan itu katanya, pegawai di setiap daerah diarahkan membuat pemantauan dan mengadakan taklimat khas berkenaan pengurusan dan penjagaan senjata api sebagai peringatan kepada anggota Rela yang menyimpan senjata api.

“Senapang perlu dijaga dan disimpan sebaik mungkin mengikut garis panduan ditetapkan. Kita mahu setiap anggota mematuhi perkara ini.

“Dalam masa sama kita juga mengingatkan anggota Rela supaya tidak sekali-kali menyalahgunakan senjata api diberikan kerajaan ini untuk aktiviti berburu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada 2 Ogos lalu, seorang anggota Rela, Mohd. Rodin Hashim, 45, maut akibat tertembak diri sendiri ketika menunggang motosikal di Kampung Kolam, Tok Uban, Pasir Mas.

Sementara itu dalam kejadian di Kampung Kerilla, Machang kira-kira pukul 1.30 petang semalam, seorang lagi anggota Rela, Rosmadi Abd. Aziz, 49, maut terkena tembakan dilepaskan anak saudaranya yang mencuri senapang miliknya.

Difahamkan, beberapa hari sebelum kejadian, suspek berusia 20 tahun menuduh mangsa mengambil parangnya menyebabkan mereka berselisih faham.

Md. Rawi dalam pada itu mengucapkan takziah kepada keluarga Rosmadi di atas tragedi malang menimpa mangsa dan berharap pihak polis dapat menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin. – 5 September 2017.