Kerajaan Komited Bangunkan Kawasan Luar Bandar

Kerajaan sentiasa komited dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar termasuk mewujudkan universiti demi kemudahan rakyat walaupun di negeri di bawah pemerintahan pembangkang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu menjadi tanda keperihatinan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sebagai contoh tiga kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) diwujudkan di Jeli, Bachok dan Pengkalan Chepa adalah bertujuan melihat proses urbanisasi dilakukan di kawasan luar bandar.

“Kewujudan kampus di kawasan luar bandar adalah pemangkin kepada kemajuan ekonomi selain mempertingkatkan tahap sosial.

“Ini memperlihatkan keperihatinan kerajaan membangunkan kawasan luar bandar walaupun kita tahu ia diperintah pembangkang. Namun, atas dasar pembangunan, kita tetap memberikan tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bersama Mahasiswa UMK di Jeli, malam ini.

Katanya, usaha membangunkan kawasan luar bandar bukan sekadar retorik namun, realiti dilaksanakan kerajaan. – 5 September 2017.