TPM Ziarah Pesakit Kronik Di Jeli

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meluangkan masa kira-kira satu jam di Kampung Wakaf Zin, Jeli menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada 20 asnaf termasuk pesakit kronik.

Beliau tiba di perkampungan itu kira-kira pukul 5 petang dengan menunggang sendiri motosikal berkuasa tinggi.

Kira-kira 600 buah motosikal dari Persatuan Superbikers Malaysia (SAM) turut berkonvoi bersama Ahmad Zahid sejauh 20 kilometer bermula dari Kem Rejimen Sempadan Batu 11, Tanah Merah.

Beliau diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang juga Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Presiden SAM, Datuk Halim Sulaiman.

Dalam lawatan tersebut, beliau sempat menziarah dan menyampaikan sumbangan kepada tiga pesakit kronik di kampung berkenaan iaitu Muhammad Hassan, 61, Azizah Samat, 59, serta Nik Esah Tuan Deraman, 64.

Ahmad Zahid kemudiannya meneruskan konvoi ke Kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi menghadiri program bersama pelajar baharu. – 5 September 2017.