Bayi Maut Kereta Jatuh Gaung

Seorang bayi lelaki berusia tiga bulan maut selepas kereta yang dipandu bapanya terbabas ke dalam gaung sedalam 50 meter di Kilometer 24.14 Lebuh Raya Timur Barat, di Jeli, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Muhammad Hadif Hilmifarizal meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibubapa dan kakaknya selamat.

Difahamkan, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu selepas menghadiri majlis kenduri di Alor Setar, Kedah.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Suprintendan, Mohd. Yusoff Jaafar berkata, HilmiFarizal Saad, 31, yang merupakan pegawai polis patah kaki kanan dan luka di muka.

“Ibu mangsa, Nur Fariza Zainol, 31, yang berada di bahagian belakang penumpang luka di muka.

“Manakala kakak mangsa, Hani Zhafira, 2, yang berada di bahagian hadapan penumpang luka di bahagian badan,” katanya kepada media, hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Toyota Vios dipandu HilmiFarizal hilang kawalan sebelum terbabas masuk ke dalam gaung.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – 6 September 2017.