Beri Peluang Kepada BN – TPM

Rakyat Kelantan perlu memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk membawa lebih banyak kemajuan dan pembangunan di negeri itu.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun Kelantan diperintah sepenuhnya oleh pembangkang, namun kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk menjadikan negeri itu lebih maju.

“Ia terbukti apabila banyak peruntukan disalurkan kepada negeri ini sekali gus menunjukkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak amat prihatin terhadap rakyat Kelantan.

“Oleh itu, jika kita tidak berterima kasih kepada pemberi, bermakna kita tidak bersyukur kepada Allah SWT kerana orang yang prihatin adalah Najib dan usaha dibawa oleh Tok Pa (Mustapa Mohamed) di negeri ini.

“Perbezaan cukup ketara berbanding puluhan tahun dahulu apabila wakil rakyat terpilih sudah banyak membawa perubahan dan pembangunan di seluruh Kelantan. Mereka adalah calon tepat yang boleh beri manfaat kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Jeli serta Majlis Pelancaran Merdeka Right yang dihadiri kira-kira 15,000 penduduk di Dataran Makan-Makan Jeli, malam tadi.

Hadir sama, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub. – 6 September 2017.