DAP Juga Berisiko Hilang Kerusi Di Pulau Pinang

Ketika DAP mendakwa PAS berdepan risiko kehilangan Kelantan, Pemuda PAS Kelantan mengingatkan parti berasaskan kaum Cina itu supaya lebih memikirkan nasibnya di Pulau Pinang.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata, dengan 19 kerusi yang dimiliki DAP di Pulau Pinang tidak cukup untuk parti itu menjadi kerajaan tanpa kerjasama dengan parti lain.

“Ini berbeza dengan PAS yang sudah mempunyai majoriti menguasai Kelantan pada hari ini walaupun secara tunggal.

“Sedarkah Lim Guan Eng bahawa DAP juga mempunyai risiko kehilangan kerusi apabila kalah di kerusi yang ditandingi jika berlaku pertembungan tiga penjuru?

“Di kerusi DAP akan berlawan dengan MCA atau Gerakan sebagai contoh, pengundi Melayu Islam hampir pasti secara ‘solid’ akan memilih PAS sebagai alternatif mereka,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, PAS berisiko kehilangan Kelantan jika tidak menyertai Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat secara sinis berkata, satu-satunya kekurangan Kelantan adalah Menteri Besar dan exconya tidak mempunyai pengalaman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berbanding Pulau Pinang yang mempunyai ‘pengalaman berharga’ itu.

“Satu-satunya kekurangan di Kelantan ialah, Menteri Besar dan exconya tidak mempunyai pengalaman ditahan oleh SPRM.

“Tidak seperti Pulau Pinang di mana Ketua Menteri dan salah seorang exconya telah mempunyai ‘pengalaman berharga’ ditahan dan didakwa oleh SPRM di mahkamah.

“Itulah satu-satunya ‘kelebihan’ DAP berbanding PAS di Kelantan,” katanya.

Tahun lalu, Guan Eng tahun disiasat SPRM atas dakwaan membeli rumah banglo di bawah harga pasaran dan akan berdepan perbicaraan di mahkamah sementara Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh turut disiasat atas dakwaan terlibat dengan kilang tanpa lesen di Seberang Prai. – 6 September 2017.