PAS Tidak Lemah Tanpa Pakatan Harapan

PAS tidak lemah walaupun tidak lagi bersekutu dengan pembangkang lain yang kini membentuk Pakatan Harapan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, anggota parti itu tetap setia dan jentera akar umbinya juga tetap kuat.

Menulis di laman blognya sskeruak.blogspot.my, beliau berkata, tidak nampak PAS lemah selepas berlakunya perpecahan sehingga tertubuhnya PAN.

“Seperti sekarang, apabila PAS berpecah dan Parti Amanah Negara (PAN) ditubuhkan, adakah PAS lemah?
Saya tidak nampak begitu,” katanya.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata, berdasarkan rekod PAS, perjuangan parti itu akan terus kekal walaupun berlaku perpecahan dalam parti dan pemimpinnya silih berganti.

Katanya, ini kerana wujud pemahaman dalam kalangan anggotanya dan rakyat yang menyokong PAS bahawa ia bukan hanya sebagai parti politik tetapi juga sebagai perjuangan menegakkan agama.

Menurut Salleh, kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan PAN hanya mendapat satu peratus sokongan daripada rakyat manakala Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr. Mohd Zuhdi Marzuki menyatakan sokongan kepada PAN menurun kepada 0.5 peratus.

“Ini berlaku kerana rakyat bosan dengan sikap PAN yang tidak konsisten,” katanya.

Beliau memetik kata-kata Clive Kessler (melalui buku politik dan masyarakat Kelantan bertajuk Islam and Politics in a Malay State: Kelantan, 1838-1969), PAS adalah parti ‘akal’ yang akan terus kekal biarpun pemimpinnya bertukar ganti. – 6 September 2017.