Pertelingkahan PKR, PAN Di Kelantan Semakin Memuncak?

Pertelingkahan antara PKR dan PAN di negeri ini dilihat semakin memuncak apabila pemimpin kedua-dua parti itu menyerang sesama sendiri secara terbuka di laman sosial facebook.

Ketegangan tersebut dikaitkan dengan tindakan pemimpin PAN yang mahu PKR segera menyatakan pendirian dengan jelas mengenai soal kerjasama parti itu dengan PAS di Kelantan.

Perang mulut antara pemimpin kedua parti itu dikatakan tercetus dengan Timbalan Pengerusi PAN negeri, Che Ibrahim Mohamed meninggalkan komen di laman sosial facebook Pengarah Komunikasi PKR negeri, Mohd Sukirman Mustafa meminta penjelasan mengenai soal kerjasama tersebut.

Mohd. Sukirman kemudiannya secara sinis membalas komen tersebut dengan meminta Che Ibrahim selaku pimpinan tertinggi parti peringkat negeri mengusulkan agar Pakatan Harapan menolak PKR atau gugurnya di seluruh negara.

Malah, Pengerusi PKR negeri Ab. Aziz Ab. Kadir juga meninggalkan komen meminta Che Ibrahim segera bertindak demikian.

Dalam masa sama, Ab. Kadir turut menyindir Che Ibrahim dengan menyatakan PAN terlalu kuat di Kelantan dengan semua orang PAS di negeri itu sudah menyertai parti tersebut.

“Molek ustaz (Che Ibrahim) minta disegerakan, Amanah (PAN) terlalu kuat ‘ambo dok tengok tak dak dah’ (saya tengok tidak ada) orang PAS di Kelantan ini, masuk Amanah habis dah. Yang tinggal hanya Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan YB ‘jah’ (saja) lagi,” komen Ab. Aziz dalam facebook tersebut.

Ekoran daripada itu, Che Ibrahim dalam status facebooknya turut memaparkan paparan gambar pertelingkahan tersebut mempersoal sindiran tajam Ab. Aziz terhadap PAN.

“Tuan Pengerusi MPN (Majlis Pimpinan Negeri) PKR Kelantan dan Tuan Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, politik apakah ini.

“Ambo (saya) hanya menzahirkan isi hati secara terbuka untuk menerima hubungan PKR-PAS, lalu Mohd. Sukirman mencadangkan ambo (saya) membawa usul menggugurkan Keadilan (PKR) daripada PH (Pakatan Harapan).

“Untuk apa pula Tuan Pengerusi minta disegerakan dengan sindiran tajam terhadap Amanah? Salahkah ambo (saya) menyatakan isi hati meminta diperjelaskan hubungan PKR-PAS?,” katanya dalam status facebook itu.

Sejak beberapa minggu lalu pergolakan antara kedua parti tersebut semakin jelas kelihatan apabila beberapa pemimpin PAN secara terbuka menyerang beberapa pemimpin PKR di dalam facebook ekoran sikap mereka yang dikatakan condong untuk bekerjasama kembali dengan PAS.

Sebelum itu, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad memecat Ketua AMK Kelantan, Dr. Mohd. Hafidz Rizal Amran sebelum melantik Mohd. Khairul Amin, dua hari kemudian bagi mengisi kekosongan jawatan itu.

Susulan itu, Ab. Aziz mengeluarkan kenyataan enggan mengiktiraf pelantikan tersebut dengan alasan keputusan dibuat tidak mengikut proses sebenar iaitu dirunding bersama ketua-ketua cabang AMK dan Majlis Pimpinan PKR Negeri.

PKR Kelantan juga dikatakan terbahagi kepada dua kumpulan selepas Ab. Aziz dikatakan cenderung bekerjasama dengan PAS kerana mahu mengekalkan lantikan politik PKR di negeri itu.