PKR Tidak Layan PAN, Patuh Warkah Anwar

Usaha berterusan PAN yang mahu PKR segera menyatakan pendirian dengan jelas mengenai soal kerjasama dengan PAS di Kelantan tidak dilayan PKR negeri itu.

Kelmarin, Pengarah Komunikasi PKR negeri, Mohd. Sukirman Mustafa menetapkan pendirian bahawa parti itu senada dan patuh dengan
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan pemimpin PKR agar tidak memutuskan hubungan dengan PAS.

Dalam masa sama, beliau juga mengakui PKR dan PAN mempunyai pandangan berbeza dalam isu tersebut bagaimanapun yakin perkara itu akan kembali pulih seperti sedia kala.

“Anwar bukan sahaja Ketua Umum PKR tetapi juga Ketua Umum Pakatan Harapan. Jadi kami sebagai ahli akan akur kepada ketua kami,” katanya ketika ditemui.

Sebuah akhbar sebelum ini melaporkan pertelingkahan antara PKR dan PAN di Kelantan semakin memuncak apabila pemimpin kedua-dua parti itu menyerang sesama sendiri secara terbuka di laman sosial facebook.

Sejak beberapa minggu lalu pergolakan antara kedua parti tersebut semakin jelas kelihatan apabila beberapa pemimpin PAN secara terbuka menyerang beberapa pemimpin PKR di dalam facebook ekoran sikap mereka yang dikatakan condong untuk bekerjasama kembali dengan PAS.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Sukirman berkata, tindakan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mempersoal warkah Anwar berhubung soal hubungan PKR dan PAS dilihat tidak wajar.

Katanya, Dr. Mahathir tidak boleh menyekat pendirian Anwar sebaliknya perlu memperhalusinya kerana beliau juga layak memberi pandangan.

“Lebih baik perkara itu dibincang secara kolektif sebelum mengeluarkan sesuatu arahan. Anwar juga adalah Ketua Umum Pakatan Harapan yang layak memberi penerangan,” katanya. – 8 Septembner 2017.