Pukul Isteri, Suami Dipenjara Lima Tahun

Seorang suami yang merupakan penagih dadah dikenakan hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas didapati bersalah membelasah isterinya sehingga retak tulang tangan Januari lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, Zakaria Mat, 35, yang bekerja sebagai nelayan mengaku bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan.

Mengikut pertuduhan, Zakaria didakwa telah mendatangkan kecederaan parah terhadap isterinya, Siti Aishah Ismail, 32, di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Kemayang, Bachok pada pukul 10 pagi, 18 Januari lalu.

Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 36A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azlinawati Mohd. Arshad yang memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas tertuduh dengan mengambil kira mangsa adalah isterinya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara tertuduh dengan isterinya dan wanita terbabit mengakui kerap kali dipukul oleh suaminya yang merupakan penagih dadah.

Tertuduh kemudian bertindak memukul mangsa dengan sebatang penyapu sebelum menendang mangsa mengakibatkan wanita itu mengalami sakit serta lebam di bahagian badan dan tangan.

Mahkamah kemudian memerintah hukuman penjara tertuduh di Penjara Pengkalan Chepa berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 31 Ogos lalu. – 8 September 2017.