Bukan Aktiviti Rasmi Politeknik

Perancangan seramai 34 pelajar Politeknik Jeli ke air terjun Hutan Rekreasi Lata Janggut bagi menyiapkan bahan tugasan masing-masing bukan aktiviti rasmi institut pengajian tinggi awam (IPTA) itu.

Timbalan Pengarahnya, Mahazari Mohd. Zain berkata, rombongan kesemua pelajar semester satu itu diatur sendiri oleh mereka tanpa pengetahuan pihak Politeknik.

Katanya, dia difahamkan kesemua pelajar Diploma Akuakultur itu ke kawasan berkenaan untuk mengambil sampel air bagi menyelesaikan tugasan yang diberikan pensyarah mereka pada bulan lalu.

“Mereka dibenarkan keluar pada setiap hujung minggu untuk keluar ke bandar berhampiran dan perlu pulang semula pada sebelah petang.

“Mereka mendapat kebenaran untuk keluar namun tidak memaklumkan mahu pergi ke Lata Janggut. Aktiviti ini bukan aktiviti rasmi politeknik dan tiada permohonan dibuat ,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Jeli.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam, tiga pelajar Politeknik Jeli ditemukan mati lemas ketika sedang bermandi- manda bersama sekumpulan rakan mereka di air terjun Hutan Rekreasi Lata Janggut.

Kesemua mangsa yang meninggal itu ialah Muhd. Farid Rozi, 18; Putra Izzad Iskandar Zulkifli, 18, dan Muhammad Ikram Fais Mohd Faisal,18,.

Tambah Mahazari, pihaknya mengucapkan takziah kepada keluarga yang terbabit dalam insiden tersebut.

“Kita akan membantu menguruskan semua jenazah penuntut terbabit termasuk semua ahli keluarga Putra Izzad Iskandar yang berada di Melaka.

“Laporan penuh akan dihantar kepada ibu pejabat Politeknik untuk tindakan lanjut,” katanya. – 9 September 2017.