Gambar Terakhir Buat Ibu

Muhd. Farid Rozi, 18, salah seorang mangsa lemas di air terjun Hutan Rekreasi Lata Janggut, Jeli sempat memberikan sekeping gambarnya kepada ibunya sebelum pulang ke Politeknik Jeli petang Isnin lalu.

Sebelum itu, Muhd .Farid dari Kota Bharu sempat berpesan kepada ibunya, Rohaya Abdul Rashid, 50, agar menyimpan gambar tersebut.

Detik tersebut cukup menyentuh perasaan Rohaya yang tidak menyangka itu adalah gambar terakhir yang diberikan oleh Muhd. Farid dan petanda bahawa anak kelima daripada 10 beradik itu akan meninggalkanya untuk selama-lamanya.

“Sebelum dia (Muhd. Farid) keluar rumah, dia ada bagi saya sekeping gambar pasportnya untuk saya simpan walaupun saya beritahu sudah ada banyak gambarnya,” katanya sebak ketika ditemui di Hospital Jeli.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi semalam, tiga pelajar Politeknik Jeli ditemukan mati lemas ketika sedang bermandi- manda bersama sekumpulan rakan mereka di air terjun Hutan Rekreasi Lata Janggut.

Selain Muhd. Farid, dua rakannya yang meninggal dunia dalam kejadian tersebut ialah Putra Izzad Iskandar Zulkifli,18, dan Muhammad Ikram Fais Mohd Faisal,18,.

Tambah Rohaya, dia mengetahui mengenai kejadian tersebut selepas dimaklumkan oleh salah seorang rakan anaknya melalui telefon.

“Pada mulanya , saya sangka dia hanya kemalangan biasa namun saya diberitahu dia meninggal dunia akibat lemas,” katanya.

Dalam pada itu, bapa kepada kepada Muhamad Ikram, Muhammad Faisal Abdullah, 49, berkata, dia mengetahui anaknya lemas selepas dimaklumkan oleh guru kelasnya melalui panggilan telefon kira-kira pukul 11.30 pagi.

“Saya tidak diberitahu Muhamad Ikram ke sana bersama rakan-rakannya. Kali terakhir kami berjumpa ketika saya menghantarnya pulang ke asrama selepas habis cuti Hari Raya Aidiladha pada petang Isnin lalu.

“Setahu saya dia tidak mahir berenang namun kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku,” katanya. – 9 September 2017.