Perkasa Desak Segerakan Sidang Kemuncak ASEANOIC

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan supaya mendesak ketua kerajaan negara-negara ASEAN dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) supaya mengadakan sidang kemuncak bagi menyelesaikan isu kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, sidang tersebut perlu segera diadakan dan negara-negara berkenaan perlu memberi tekanan kepada Myanmar agar segera menghentikan kekejaman luar biasa itu.

Katanya, sudah tiba masanya seluruh negara bersatu melakukan tindakan terhadap Myanmar bukan hanya sekadar mengeluh dan menzahirkan rasa kesian melihat nasib etnik Rohingya yang terus ditindas.

“Selain Malaysia, Indonesia juga perlu memainkan peranan penting dalam isu ini kerana mereka sebuah negara Islam terbesar di rantau ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan persidangan khas tahunan Perkasa Parlimen Bachok.

Sementara itu, Ibrahim turut meminta seluruh umat Islam supaya tidak menjadi pasif dengan tidak mengambil kisah mengenai kekejaman tersebut.

Sebaliknya kata beliau, seluruh umat Islam perlu segera bangkit dan bersatu menentang kekejaman itu.

“Saya minta seluruh umat Melayu Islam supaya tidak menjadi bangsa pasif, tidak ambil kisah tentang apa berlaku di sekeling. Perkasa hanya mampu menggerakkan kesedaran yang selebihnya adalah atas kesedaran masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim menzahirkan rasa kesalnya terhadap negara kuasa besar lain yang dilihat memandang ringan isu kekejaman ini. – 9 September 2017.