Tiga Anugerah ‘Tun’

Tiga tokoh menerima anugerah tertinggi negara yang membawa gelaran ‘Tun’ sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, hari ini.

Tiga tokoh iaitu Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif dan dua bekas menteri kabinet iaitu Datuk Seri S. Samy Vellu dan Tan Sri Michael Chen Wing Sum, dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran “Tun”.

Md Raus dilantik sebagai Ketua Hakim Negara selama tiga tahun berkuat kuasa pada 4 Ogos lepas.

Samy Vellu, yang kini Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur, adalah bekas Menteri Kerja Raya manakala Michael Chen merupakan bekas Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru.

Sementara itu, seramai 51 individu dianugerahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dianugerahi darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (P.M.N.).

Seramai 48 individu pula menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang turut membawa gelaran Tan Sri.

Mereka ialah Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Datuk Seri Ahmad Zaki Ansore Mohd Yusof; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Aziah Ali; Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Turut menerima darjah kebesaran itu ialah Bekas Ketua Pengarah ICU, Datuk Seri Dr Rahamat Bivi Yusoff; Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Sharifah Zarah Syed Ahmad; Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad; dan Pengerusi Lembaga Pengarah K and N Kenanga Holdings Berhad, Datuk Tengku Noor Zakiah Tengku Ismail turut menerima darjah kebesaran P.S.M.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman pula disenarai antara penerima darjah itu bagi kategori pertubuhan politik yang turut menyenaraikan dua veteran UMNO, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman dan Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed.

Turut menerima anugerah itu ialah Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri S. Vigneswaran; bekas pengerusi MIC Perak, Datuk Rajoo Dasari @ Govindasamy; dan bekas pemimpin MCA Datuk Tee Cheng York @ Tee How.

Bagi kategori pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun pula, penerima gelaran itu ialah Gabenor Bank Negara, Datuk Muhammad Ibrahim; Pengerusi Lembaga Getah Malaysia, Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie; Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

Dua panglima daripada perkhidmatan ATM turut menerima darjah kebesaran P.S.M. iaitu Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Seri Zulkiple Kassim dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang.

Seramai 20 individu dari badan swasta, persatuan dan sukarela turut menerima darjah kebesaran P.S.M. iaitu Naib Pengerusi Eksekutif Yayasan Albukhary, Datuk Seri Ismail Yusof; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Safuan Group Berhad, Datuk Mat Shah Sapuan; Timbalan Pengerusi Eksekutif Ahmad Zaki Resources Berhad, Datuk Seri Wan Zaki Wan Muda dan Pengerusi Eksekutif Binary University Sdn Bhd, Datuk Prof Joseph Adaikalam.

Turut menerima anugerah P.S.M. ialah Pengerusi Sunsuria Berhad, Datuk Ter Leong Yap; Naib Presiden Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia, Datuk Seri Abg Khalid Abg Marzuki; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.- Bernama, 9 September 2017.