Wadah Perjuangan Hampir Sama, DAP Takut Ta’awun Politik PAS-UMNO

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mokhtar Senik berpendapat, UMNO yang memperjuangkan Melayu dan Islam menjadikan wadah perjuangannya hampir sama dengan parti Islam itu berbanding DAP.

Ini katanya, membuatkan DAP sangat takut jika berlaku ta’awun politik antara dua parti Islam terbesar itu.

“Kerjasama tersebut akan membunuh cita-cita DAP. Sebenarnya perlu diketahui antara UMNO dan DAP, UMNO berada di suatu titik yang lebih dekat dengan PAS.

“Pertama sama-sama Muslim, kedua sama-sama Melayu. Jangan lupa bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan Melayu adalah bangsa yang menjadi tuan asal kepada Negara ini.

“Perlu diingat bahawa keutuhan dan perpaduan Melayu mempunyai pengaruh yang besar ke arah ketuanan dan kedaulatan Islam,” katanya memetik laporan sebuah portal.

Mokhtar berkata, walaupun Islam untuk semua manusia dan qabilah di jazirah Arab, namun keutamaan Qurayish tetap disebut oleh Rasulullah SAW sebagai kabilah yg mendominasi jazirah tersebut.

Katanya, Islam akan lebih kukuh jika disokong oleh kuasa politik dan politik akan lebih kuat jika didokong oleh bangsa yang paling berpengaruh di dalam sesebuah negara.

Justeru tegasnya, Melayu dan Islam perlu di rangkum bersama dalam agenda mendaulatkan Islam. – 9 September 2017.