218, 861 Saman Awas Dikeluarkan

Sebanyak 218,861 saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) dikeluarkan kepada pesalah trafik sejak sistem tersebut dikuatkuasakan 15 April lalu.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 199,948 saman dikeluarkan melibatkan kes melebihi had laju dan 18,913 melibatkan kesalahan melanggar lampu isyarat merah.

“Setakat ini, pesalah trafik telah membayar denda bagi kesalahan yang dilakukan. Banyak kes kesalahan yang dikesan setelah Awas mula dikuatkuasakan sejak lima bulan lalu.

“Kesalahan memandu melebihi had laju paling banyak dicatatkan ialah di Kilometer 299.9 Lebuh Raya PLUS-Kampar iaitu sebanyak 33, 171 kesalahan. Manakala, kesalahan melanggar lampu merah paling banyak dicatatkan di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur dengan 11, 430 kes,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program 1 Komuniti 1 JPJ di Dataran Kesedar Paloh 2, Gua Musang.

Tambah Ab. Aziz, penggunaan sistem kamera Awas itu dilihat dapat membantu merakam kesalahan trafik.

“Kita mengakui, kita tidak cukup kakitangan untuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang. Bagi mengatasi masalah itu, sistem Awas digunakan dan kita dapat merekodkan pelbagai kesalahan trafik,” katanya. – 10 September 2017.