TH Kembali Semula Kos Jemaah Haji Uzur

Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengembalikan semula kos menunaikan haji berjumlah RM9,980 kepada jemaah haji yang mengalami keuzuran ketika berada di Tanah Suci sehingga tidak dapat melengkapkan ibadah haji mereka.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kes berkenaan adalah melibatkan jemaah haji yang telah sampai ke Tanah Suci tetapi jatuh sakit seperti tidak sedarkan diri sehingga tidak dapat melakukan Wukuf di Arafah.

“Untuk kes tersebut, TH juga memberi keutamaan kepada mereka untuk menunai haji pada tahun yang berikutnya.

“Kita melaksanakan tanggungjawab sosial ini kerana TH adalah institusi Islam yang dibangunkan untuk rakyat bukannya untuk mengaut keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan ke rumah Allahyarham Wan Mohd. Zamri Wan Zakaria, salah seorang jemaah haji yang meninggal dunia di Kampung Ketil, Tumpat.

Dalam kunjungan itu, Asyraf Wajdi turut menyampaikan sumbangan Takaful Khairat Kematian, air zam-zam dan kurma kepada keluarga Allahyarham.

Asyraf Wajdi berkata, sejak dahulu lagi, TH telah sedaya upaya membuat pendekatan bagi membantu jemaah haji yang tidak berkeupayaan ke Arafah untuk melaksanakan Wukuf.

“TH telah menyediakan pengangkutan safari iaitu membawa jemaah haji yang tidak berkeupayaan dengan bas yang diubahsuai seperti ambulans.

“Walaupun untuk Wukuf seketika di Arafah, ia sudah mencukupi untuk menunaikan ibadah haji mereka asalkan mereka sedar dan faham apa yang mereka tunaikan dengan bimbingan petugas haji,” katanya. – 10 September 2017.