Warkah Anwar Tidak Boleh Batalkan Keputusan Majlis Presiden

PAN menyifatkan warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh membatalkan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang telah memutuskan kerjasama dengan PAS.

Dalam masa sama, Timbalan Pengerusi PAN negeri, Che Ibrahim Mohamed dalam status facebooknya secara sinis turut mengakui PKR tidak perlu melayan PAN atau Amanah yang baharu ditubuhkan tidak sampai dua tahun berbanding PKR berusia hampir 20 tahun.

“Ambo (saya) akui PKR tidak perlu melayan PAN atau Amanah kerana Amanah baru ditubuhkan tidak sampai dua tahun lagi berbanding Keadilan yang sudah berusia hampir 20 tahun.

“Namun ambo tetap berpandangan warkah DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak boleh membatalkan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan yang telah memutuskan hubungan dengan PAS dalam PRU-14 ini,” katanya dalam status facebook miliknya.

Kelmarin sebuah akhbar melaporkan PKR tidak mahu melayan desakan sekutunya, PAN supaya menyatakan pendirian dengan jelas soal kerjasama mereka dengan PAS di Kelantan.

Perkara itu jelas apabila Pengarah Komunikasi PKR negeri, Mohd. Sukirman Mustafa hanya menegaskan bahawa parti patuh dengan Anwar yang mengingatkan pemimpin PKR agar tidak memutuskan hubungan dengan PAS tanpa mahu mengulas desakan daripada PAN.

Dalam masa sama, Mohd. Sukirman juga mengakui PKR dan PAN mempunyai pandangan berbeza dalam isu tersebut, bagaimanapun yakin perkara itu akan kembali pulih seperti sedia kala.

Sebelum itu perang mulut pemimpin kedua parti berkenaan tercetus dengan Che Ibrahim meninggalkan komen di Facebook Mohd. Sukirman meminta penjelasan mengenai kerjasama PKR dengan Pas.

Pergolakan semakin ketara apabila beberapa pemimpin PAN secara terbuka menyerang pemimpin PKR menerusi Facebook ekoran sikap mereka yang condong untuk bekerjasama kembali dengan PAS.

Sementara itu, Che Ibrahim berkata, beliau yakin sekiranya Anwar mendapat maklumat yang terkini mengenai PAS sudah tentu Penasihat PKR itu akan bersetuju dengan keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan. – 10 September 2017.