Annuar Musa Kembali Dicalonkan Presiden Kafa

Penasihat The Red Warriors (TRW), Tan Sri Annuar Musa kembali dicalonkan untuk jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi penggal 2017-2021 pada kongres tahunan badan induk itu ke-63, 17 September ini.

Setiausaha Agung Kafa, Datuk Ismail Md. Noor berkata, Annuar akan ditentang empat calon lain sekali gus bakal menyaksikan pertandingan lima penjuru.

“Empat lagi calon lain ialah dua Naib Presiden Kafa, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail; Pengerusi Chengal Jati Sdn. Bhd. Datuk Ir. Shaari Hassan dan Pengurus Desa Murni Batik Kota Bharu Bibi Ramjani Ilias Khan,” katanya.

Tambah Ismail, bagi jawatan timbalan presiden, seramai empat orang telah dicalonkan.

“Manakala kuota tiga naib presiden bakal menyaksikan saingan sengit apabila 13 individu terdiri dalam kalangan tokoh korporat, ahli politik dan pegawai tadbir bakal merebut kerusi tersebut,” katanya.

Katanya lagi, tarikh tutup pencalonan berakhir pada pukul 5 petang semalam. – 11 September 2017.