RCI Memali: PAS Jumpa Ketua Polis Negara

PAS akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bagi membincang dan mengusulkan cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kembali tragedi berdarah Memali.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari memberitahu, pihaknya kini dalam proses menghantar surat kepada pejabat Ketua Polis Negara bagi mendapatkan tarikh sesuai untuk pertemuan yang bakal dihadiri pemimpin-pemimpin kanan parti itu.

Katanya, pertemuan tersebut juga diharap dapat membantu menyegerakan penubuhan RCI sekali gus memberi pembelaan dan keadilan kepada keluarga mangsa tragedi itu.

“Kita sendiri dalam perancangan membawa pimpinan PAS Pusat bersua atau membuat kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Negara yang baharu.

“Insya-Allah kita akan lontar beberapa cadangan supaya RCI segera ditubuhkan selaras dengan kesediaan kerajaan Pusat sebelum ini (menubuhkan RCI siasat semula tragedi Memali),” katanya.

Isu Memali muncul kembali apabila Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Pakatan Harapan seolah-olah enggan menjawab soalan berkaitannya yang dibangkitkan dalam forum Nothing to Hide 2.0 bulan lalu.

Dalam masa sama, kerajaan Pusat juga sedia menubuhkan RCI bagi menyiasat kembali tragedi berdarah Memali pada 19 November 1985 di Baling, Kedah, jika ada permintaan.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS negeri berkata, pihaknya juga telah mengumpul maklumat dan kenyataan bertulis daripada 50 ahli keluarga mangsa Memali dalam pertemuan sebelum Hari Raya Aidiladha lalu.

“Segala maklumat itu, kita akan maklumkan kepada RCI jika ia ditubuhkan nanti. Kita dapati beberapa fakta ketika kejadian itu perlu diteliti dan diperbetulkan semula,” katanya. – 11 September 2017.